Wednesday, April 16, 2014

MALAYSIA:::Cadang perlindungan lebih baik pekerja asing


PETALING JAYA - Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Kedua Kaukus Antara Parlimen Mengenai Penghijrahan Buruh dan misi mencari fakta ke Malaysia mencadangkan agar negara pengeksport pekerja dan kerajaan Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memelihara dan memberi perlindungan lebih baik terhadap hak pekerja asing di Malaysia.

Kenyataan yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat tiga hari itu di sini hari ini berkata mereka juga mengemukakan 18 syor, termasuk untuk menjamin kualiti kehidupan yang baik bagi pekerja pendatang.

Jawatankuasa berkenaan turut mencadangkan agar Malaysia memuktamadkan deraf Instrumen Rangka Kerja Asean mengenai Perlindungan dan Pemupukan Hak Pekerja Pendatang dan menimbang mengamalkan pendekatan kerajaan dengan kerajaan dalam pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

Anggota Dewan Perwakilan Filipina, Mariquit Melgar, berkata MoU yang dicadangkan itu penting dalam usaha melindungi kebajikan pekerja negara itu di Malaysia.

"Oleh itu, kami berharap, tidak lama lagi, mereka akan mengadakan MoU antara kerajaan Filipina dan kerajaan Malaysia untuk melindungi pekerja kami kerana kami ingin memastikan wujudnya perlindungan sosial yang lebih baik," katanya kepada Bernama.

Anggota Dewan Perlembagaan Nepal, Zakir Hussain pula berkata MoU yang dicadangkan itu perlu bersifat telus kerana menurut beliau, sesetengah pekerja Nepal menjadi mangsa diskriminasi oleh syarikat di negara ini.

"Syarikat membuat potongan untuk levi, tapi potongan levi yang mereka buat sangat tinggi...rakyat Nepal sangat miskin," katanya.

Kaukus itu dianggotai 15 negara. Ia ditubuhkan secara rasmi pada September 2011 hasil pertemuan 26 anggota Parlimen. Antara objektifnya adalah melakukan kunjungan terhadap masyarakat pekerja pendatang untuk lebih memahami keadaan yang mereka alami serta mengetengahkan isu berkaitan golongan itu. - Bernama

sumber:::http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment