Thursday, April 17, 2014

Asal-usul Hari Pekerja – Rosa Luxemburg (1894)

8hoursday_banner_1856
Dua minggu lagi, pada 1 Mei, kita akan menyambut acara tahunan Hari Pekerja. Apa sebenarnya maksud hari cuti ini? Adakah ia hari beristirehat semata-mata? Atau hari untuk berhibur dan pergi “shopping” jualan murah?

Mari kita meninjau kembali sejarah awal asal-usul Hari Pekerja yang dicatatkan oleh seorang wanita yang menjadi ikon perjuangan hak rakyat miskin dan hak pekerja, Rosa Luxemburg.
===
Idea bahagia untuk menggunakan hari cuti sebagai kaedah mendesak kepada hak waktu kerja lapan jam sehari mula-mula sekali dicadangkan di Australia. Golongan pekerja di sana memutuskan pada tahun 1856 untuk mengaturkan satu hartal (mogok kerja) dengan program-program perhimpunan dan hiburan sebagai satu demonstrasi menuntut hak waktu kerja lapan jam sehari. Hari yang ditetapkan untuk sambutan tersebut ialah 21 April. Pada mulanya, pekerja-pekerja Australia hanya merancang untuk program itu diadakan pada tahun 1856 sahaja. Namun oleh sebab sambutan tersebut mempunyai kesan yang begitu mendalam terhadap golongan pekerja di Australia, menghidupkan mereka serta meniup semangat mereka, maka ia diputuskan untuk menjadi sambutan setiap tahun.
Apa lagi yang mampu memberikan keberanian yang begitu besar kepada para pekerja dan memberikan mereka keyakinan terhadap kekuatan sendiri selain hartal besar-besaran yang diputuskan oleh mereka sendiri? Apa lagi yang mampu memberikan keberanian kepada hamba abdi kilang-kilang dan bengkel-bengkel selain kejayaan mereka mengemblengkan kekuatan seluruh kaum pekerja? Justeru, idea sambutan Hari Pekerja diterima baik dan bermula dengan Australia, idea ini tersebar ke negara-negara lain sehingga berjaya menawan seluruh dunia pekerja.
Yang terawal sekali mengikut jejak pekerja-pekerja Australia ialah para pekerja di Amerika Syarikat. Pada tahun 1886, mereka memutuskan untuk menobatkan 1 Mei sebagai hari hartal. Pada hari tersebut, 200,000 pekerja meninggalkan tempat kerja mereka dan menuntut hak waktu bekerja lapan jam sehari. Selepas itu, polis dan tindakan undang-undang pihak berkuasa menghalang para pekerja daripada menganjurkan demonstrasi sebesar ini untuk beberapa tahun kemudiannya. Namun, pada tahun 1888, para pekerja telah membuat keputusan bahawa sambutan seterusnya akan berlangsung pada 1 Mei 1890.
Pada masa yang sama, pergerakan pekerja di Eropah menjadi semakin kuat dan bersemangat. Kemuncak pergerakan ini berlaku semasa Kongres Pekerja Antarabangsa pada tahun 1889. Dalam Kongres tersebut yang dihadiri oleh empat ratus orang perwakilan, telah diputuskan bahawa tuntutan utama para pekerja adalah hak waktu bekerja lapan jam sehari. Seorang perwakilan dari kesatuan pekerja Perancis, Lavigne dari Bordeaux telah mengusulkan agar tuntutan tersebut disuarakan oleh kaum pekerja di semua negara melalui suatu tindakan hartal. Wakil daripada Amerika Syarikat kemudiannya memaklumkan rancangan rakan-rakan beliau untuk berhartal pada 1 Mei 1890, lalu tarikh tersebut pun diputuskan oleh Kongres sebagai tarikh keramat sambutan hak pekerja.
Dalam kes ini, seperti yang berlaku di Australia tiga puluh tahun yang lalu, para pekerja pada awalnya menyangka sambutan tersebut hanya untuk sekali sahaja. Kongres tersebut memutuskan bahawa seluruh kaum pekerja di serata dunia akan berhartal bersama-sama bagi menuntut hak waktu bekerja lapan jam sehari pada 1 Mei 1890. Tiada sesiapa pun yang menyebut bahawa sambutan akan diulangi pada tahun-tahun yang akan datang. Tiada sesiapa pun yang dapat meramalkan betapa pantasnya idea ini akan berjaya dan diterima sepenuhnya oleh kaum pekerja di serata tempat. Namun, cukup sekadar sekali menyambut Hari Pekerja untuk setiap orang memahami dan merasai semangat Hari Pekerja dan menyakinkan mereka bahawa ianya patut diraikan secara berterusan.
Hari Pekerja yang pertama menuntut hak waktu bekerja lapan jam sehari. Walaupun selepas tuntutan tersebut telah tercapai, sambutan Hari Pekerja masih diraikan. Selagi perjuangan kaum pekerja terhadap penindasan ke atas mereka masih berlaku, selagi semua tuntutan pekerja masih tidak dipenuhi, selagi itu Hari Pekerja akan menjadi satu lambang untuk semua tuntutan tersebut. Dan apabila hari besok yang lebih cerah menjelma, di mana kaum pekerja sedunia telah berjaya, pada masa itu, seluruh umat manusia mungkin turut menyambut Hari Pekerja sebagai memperingati perjuangan pahit dan segala kesusahan masa lampau.


SAMBUTAN HARI PEKERJA 2014 ......
Dua minggu lagi, pada 1 Mei, kita akan menyambut acara tahunan Hari Pekerja. Apa sebenarnya maksud hari cuti ini? Adakah ia hari beristirehat semata-mata? Atau hari untuk berhibur dan pergi “shopping” jualan murah?http://labourbulletin4workers.blogspot.com/.../asal-usul...
SAHKAN KEHADIRAN ANDA DENGAN CLICK LINK DIBAWAH

No comments:

Post a Comment